:
Pengenalan%20Sekolah%20Islam%20Al-Farabi


PENGASAS
Diasaskan oleh Allahyarham Tuan Haji Abdul Aziz Hamzah, Tuan Haji Sharif bin Baharom dan Dr. Nik Radhi Nik Ahmad.

Allahyarham Tuan Haji Abdul Aziz Hamzah merupakan seorang aktivitis masyarakat yang telah banyak membuat kebajikan. Beliau telah membangunkan Sekolah Islam Hira’. Beliau juga merupakan pengerusi Ahli Lembaga Pengurus (ALP) yang pertama (1989-1991) bagi Sekolah Islam Al-Farabi.

Tuan Haji Shariff bin Baharom pula merupakan bekas guru besar sekolah kebangsaan. Beliau telah banyak membantu Tuan Haji Abdul Aziz dalam membangunkan Sekolah Islam Al-Farabi. Beliau juga merupakan Pegawai Pendidikan Akademik dan Ahli Jawatankuasa ALP Sekolah Islam Al-Farabi (1989-2000).

Manakala Dr. Nik Radhi Nik Ahmad pula merupakan seorang pensyarah di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Pahang dan berlatarbelakangkan pendidikan agama. Beliau telah diberi tanggungjawab untuk membangun dan menyusun kurikulum dan subjek di sekolah. Beliau merupakan ahli panel kurikulum(1989-1991).

IDEA PENUBUHAN SEKOLAH ISLAM AL-FARABI
Idea penubuhan Sekolah Islam Al-Farabi bermula daripada Allahyarham Tuan Haji Abdul Aziz. Beliau tertarik dengan penubuhan Sekolah Islam Hira’ yang semakin maju dari hari ke hari. Sekolah Islam Hira’ telah mencetuskan idea dan mendorong beliau untuk membina sebuah sekolah di Kampung Delek. Beliau telah meminta pandangan daripada 2 lagi pengasas tadi. Kedua-dua mereka telah menyokong cadangan beliau untuk mendirikan sekolah aliran agama dan aliran akademik. Kebetulan pula arwah mempunyai sebidang tanah yang luas bersebelahan kediamannya dan beliau mempunyai kewangan yang cukup untuk melaksanakan idea tersebut. Kejayaan Sekolah Islam Hira’ telah meyakinkan beliau bahawa idea tersebut boleh direalisasikan sepenuhnya. Lalu Dr. Nik Radhi telah mencadangkan penubuhan sebuah sekolah Islam dan Cikgu Shariff telah mencadangkan nama sekolah diambil daripada nama seorang tokoh ilmuan Islam, iaitu Al-Farabi. Idea beliau juga telah mendapat sokongan daripada masyarakat setempat.

TARIKH OPERASI SEPENUHNYA
Sebelum memulakan operasi, Sekolah Islam Al-Farabi telah dilancarkan terlebih dahulu pada bulan April 1989. Pada ketika itu hanya terdapat 6 buah kelas, 3 buah bilik darjah yang menempatkan pelajar tahun 1, tahun 2 dan tingkatan 1. Dua buah kelas telah dijadikan surau dan sebuah kelas dijadikan bilik guru. Untuk menambahkan pelajar pada waktu itu, pihak sekolah telah membuat pengiklanan pendaftaran sekolah menengah dan sekolah rendah. Setelah mendapat keizinan daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Sekolah Islam Al-Farabi telah beroperasi sepenuhnya pada 4 Disember 1989. Pelajar-pelajar telah berkongsi satu bangunan dari tahun 1989 hingga 1995. Bilangan guru pada waktu itu adalah seramai 5 orang iaitu Ustaz Mansur, Ustazah Wan Faezah Wan Yusuf, Ustazah Wan Jamilah Abdul Malik, Ustazah Aisyah dan Ustaz Ahmad Basri Mohammad. Bilangan pelajar pada waktu itu adalah seramai 50 orang pada tahun pertama.

KEISTIMEWAAN SEKOLAH


PENGURUSAN SEKOLAH
Ahli Lembaga Pengurusan (ALP) Sekolah ialah individu yang bekerja secara sukarela. Setiap Pengerusi ALP telah memberi sumbangan yang signifikan kepada sekolah termasuklah Allahyarham Tuan Haji Abdul Aziz Hamzah sendiri yang telah mencetuskan idea penubuhan sekolah ini.

Pengerusi ALP yang kedua, Tuan Haji Mustafa Muhammad, telah memperkenalkan Sistem Pengambilan Guru. Sistem ini telah memberi kesan kepada sebahagian guru yang sanggup berkorban untuk terus berkhidmat di sekolah.

Pengerusi ALP yang ketiga, Tuan Haji Abdul Aziz Hasan, telah menggerakkan ALP dan PIBG sekolah. Beliau telah membeli sebidang tanah seluas satu ekar sebagai tapak pembinaan untuk sekolah rendah.

Pengerusi ALP yang keempat, Tuan Haji Rahmat Mohd Nor pula telah menggerakkan aktiviti kokurikulum. Beliau telah mencetuskan idea untuk mengadakan Sukan Sekolah Al Farabi(SAFAR) pada tahun 1999. Sehingga hari ini, SAFAR telah menjadi antara acara terbesar sekolah setiap tahun.

Pengerusi ALP seterusnya ialah Tuan Haji Azmi bin Abdul Talib. Beliau telah menyelia pembinaan bangunan baru SIAF yang agak lama tertangguh, surau dua tingkat di SRIF, melengkapkan prasarana sekolah dan berusaha mendapatkan sumbangan para dermawan untuk dana sekolah. Pada ketika itu juga, beliau telah memantapkan sistem pentadbiran sekolah menengah dan sekolah rendah yang diletakkan di bawah satu pentadbiran dengan mewujudkan jawatan Pegawai Tadbir. Guru-guru turut didedahkan dengan kursus berkala.

GURU-GURU DI KALANGAN BEKAS PELAJAR SIF
Kebanyakan bekas pelajar Al-Farabi yang dahulunya menuntut di sini kembali semula ke SIF bagi menabur bakti mereka. Antaranya ialah Ustazah Aznen Mahmudin, Ustazah Siti Marinie Jerani, Ustaz Mohd Hazry Siron dan Ustaz Muhammad Nizam Rasmi.

BEKAS PELAJAR KE IPTA/IPTS
Al-Farabi mampu melahirkan pelajar yang cemerlang dalam pengajian akademik dan agama. Kebanyakan lepasan SPM di SMIF melanjutkan pelajaran mereka ke IPTA atau IPTS. Bahkan ramai daripada yang telah menamatkan pengajian di UIA, UM, UiTM, UPSI, KUIS dan kolej-kolej swasta yang lain.

SOKONGAN JABATAN AGAMA ISLAM SELANGOR (JAIS)
Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah memberi sokongan dan kerjasama yang sangat baik kepada sekolah sejak awal penubuhannya.
Pihak Sekolah Islam Al-Farabi (SIF) dilibatkan secara langsung dalam perkara berkaitan peperiksaan kelolaan JAIS, kurikulum, maklumat semasa dan seumpamanya.

PENDAFTARAN
SIF didaftarkan di bawah Enakmen No (2) Pengawalan Sekolah Agama Negeri Selangor pada 30 November 1993.

Sekolah Menengah : 024/1
Sekolah Rendah : 025/1
Pendaftaran dengan Kementerian Pelajaran dalam proses membuat permohonan kedua.

Sekolah Menengah : KP(JPS)5195/SRM/163/2
Sekolah Rendah : KP(JPS)5195/SRM/163/1