:
KOPERASI

Koperasi Sekolah Islam Al-Farabi Klang Berhad

 

Sejarah Koperasi

Koperasi Sekolah Islam Al-Farabi Klang Berhad (KOPSIF) didaftarkan pada 17 Februari 2009 dengan nombor pendaftaran B-1-0561. Idea penubuhan koperasi ini telah tercetus daripada salah seorang ahli lembaga pengurus sekolah sendiri iaitu Tuan Haji Daud bin Dollah selaku Bendahari dalam Jemaah Ahli Lembaga Pengurus Sekolah Islam Al-Farabi pada ketika itu.

KOPSIF kemudiannya menjadi ahli ANGKASA pada 8 September 2014 dengan nombor rujukan SR0675.

 

Visi

Visi Koperasi Sekolah Islam Al-Farabi Klang Berhad adalah menjadi koperasi sekolah terbaik di negeri Selangor menjelang 2025.

 

Misi

Misi Koperasi Sekolah Islam Al-Farabi Klang Berhad adalah:

  • Pencapaian cemerlang dalam semua pentadbiran koperasi
  • Pengurusan koperasi yang cekap
  • Pembentukan jati diri yang telus, bertanggungjawab, bersungguh-sungguh dan bekerjasama
  • Pembudayaan amalan 3K (kebersihan, keceriaan dan keselamatan)

 

Logo KOPSIF

Logo KOPSIF adalah rekaan guru besar Sekolah Rendah Islam Integrasi Al-Farabi sendiri yang pada ketika itu adalah sebagai salah seorang ahli lembaga koperasi. Warna biru dalam logo membawa maksud keyakinan dan kekuatan. Manakala gambar tiga tangan yang berkaitan antara satu sama lain memberi erti kerjasama yang erat dan semangat kebersamaan dalam kalangan anggota koperasi. Warna hijau dan kuning pula mewakili warna tema sekolah sendiri.

 

Pengurusan

Koperasi ditadbir oleh 14 orang ahli lembaga yang terdiri dari 10 orang guru dan 4 orang pelajar.

 

Keahlian

Ahli-ahli Koperasi Sekolah Islam Al-Farabi Klang Berhad adalah terdiri daripada sebahagian besar guru-guru Sekolah Menengah Islam Al-Farabi, Sekolah Rendah Islam Integrasi Al-Farabi, staf pentadbiran dan staf sokongan Sekolah Islam Al-Farabi.

 

Setiap tahun, purata kira-kira 20% dalam kalangan pelajar Sekolah Menengah Islam Al-Farabi merupakan ahli Koperasi Sekolah Islam Al-Farabi Klang Berhad. Bilangan ahli terkini adalah seramai 110 orang.

 

Lokasi

Kedai koperasi utama terletak dalam bangunan Sekolah Menengah Islam Al-Farabi, iaitu bertentangan dengan pejabat sekolah. Manakala cawangan koperasi pula terletak dalam bangunan Sekolah Rendah Islam Integrasi Al-Farabi iaitu di bahagian tepi surau sekolah.

 

Kegiatan

Kegiatan koperasi pada peringkat awal penubuhan adalah menjual makanan ringan seperti roti, biskut dan lain-lain makanan selain minuman air kotak. Selepas beberapa tahun operasi, koperasi mula menguruskan jualan buku teks, buku aktiviti, buku tulis dan alat tulis pula. Tidak lama selepas itu, koperasi cuba mengambil langkah yang lebih besar iaitu membekalkan baju seragam sekolah termasuk baju dan seluar sukan sekolah. Koperasi juga telah menggaji seorang pengurus koperasi pada ketika itu.

 

Menjelang pasca Covid-19, koperasi telah membuat keputusan untuk menyerahkan semua stok seragam sekolah dan buku-buku kepada pihak Al-Farabi Mart untuk dijual. Selepas itu, koperasi mula kembali fokus menjual makanan ringan, seperti roti, biskut dan lain-lain makanan, air kotak minuman, ais krim dan alat tulis sehingga kini.

 

Kejayaan Koperasi

Mencapai jualan tahunan sebanyak RM300,000 pada tahun 2019.